Home Semasa Permohonan rentas negeri hanya untuk mereka terkandas di kampung – Ismail Sabri

Permohonan rentas negeri hanya untuk mereka terkandas di kampung – Ismail Sabri

by Bernama

PUTRAJAYA, 23 Apr – Permohonan untuk pergerakan rentas negeri hanya untuk mereka yang terkandas di kampung yang mahu pulang ke rumah mereka dan bukannya untuk mereka yang ingin pulang ke kampung, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata timbul kekeliruan dalam kalangan rakyat yang menyangka semua pihak boleh membuat permohonan dan pendaftaran kepada polis bermula 25 April untuk pulang ke kampung.

“Ada kekeliruan …yang ada di bandar nak balik ke kampung tidak boleh, daripada awal lagi kita beritahu tidak boleh.

“Jangan ada yang keliru untuk memohon. Yang saya sebut sebelum ini adalah untuk mereka yang terperangkap di kampung,” katanya pada sidang media harian mengenai PKP di sini, hari ini.

Beliau berkata sebaik diumum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa bermula 18 Mac, ramai yang berpusu-pusu pulang ke kampung dan kini terkandas di kampung lebih sebulan.

“Jadi kita minta mereka mendaftar namun keputusan masih belum dibuat kerana kita cuma benarkan mereka lapor kepada polis melalui dalam talian mulai 25 April supaya kita dapat informasi yang jelas berapa ramai sebenarnya yang balik sebelum PKP dan yang ingin balik semula ke tempat kerja masing-masing,” katanya.

Berbeza dengan kebenaran pulang kepada para pelajar, beliau berkata mereka boleh dibawa pulang beramai-ramai dengan menaiki bas memandangkan status kesihatan mereka diketahui oleh pihak pentadbir.

“Tetapi untuk mereka yang di kampung, mereka tinggal di kawasan berasingan dan tidak diketahui status kesihatan mereka,” katanya.

Jelasnya, banyak perkara lain perlu diteliti oleh Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara dan Polis Diraja Malaysia sebelum keputusan kebenaran untuk pulang ke tempat masing-masing dibuat.

“Kalau dibolehkan, barulah kerajaan akan menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagaimana untuk mereka pulang,” katanya.

Ismail Sabri berkata pihaknya dimaklumkan oleh polis keputusan dijangka diperoleh pada 1 Mei dan selepas itu barulah perbincangan lanjut akan diadakan.

“Jadi bukan automatik mereka (yang terkandas di kampung) boleh balik ke Kuala Lumpur (dan negeri-negeri lain),” katanya. – Bernama

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!