Home Semasa Malaysia tetap lindungi kepentingan di Laut China Selatan

Malaysia tetap lindungi kepentingan di Laut China Selatan

by Bernama

KUALA LUMPUR, 23 Apr – Malaysia kekal teguh dalam komitmennya melindungi kepentingan dan hak negara ini di Laut China Selatan.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pendirian Malaysia mengenai perkara itu jelas dan konsisten.

Beliau berkata disebabkan isu itu rumit dan sensitif, semua pihak mesti bekerjasama untuk menjaga keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan serta meningkatkan usaha membina, mengekal dan memperkukuh keyakinan serta rasa saling mempercayai.

“Malaysia berpegang kepada anggapan bahawa Laut China Selatan harus kekal sebagai perairan untuk keamanan dan perdagangan.

“Oleh itu, perkara berkait Laut China Selatan mesti diselesaikan secara aman berasaskan prinsip undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Hishammuddin berkata, pendirian Kuala Lumpur, sebarang pertikaian seharusnya diselesaikan secara saksama menerusi penyelesaian damai, diplomasi dan saling percaya antara semua pihak terbabit.

“Hanya kerana kami tidak membuat kenyataan umum mengenai isu itu, ini tidak bermakna kami tidak bekerja untuk semua yang dinyatakan sebelum ini, kami sentiasa terbuka dan terus berkomunikasi dengan semua pihak yang berkenaan, termasuk China dan Amerika Syarikat,” katanya.

Katanya, sebagai bekas Menteri Pertahanan, beliau amat peka dan sedar mengenai perkara itu dan semua pihak harus menghindari sebarang insiden baik secara sengaja atau tidak, di perairan itu.

Meskipun, undang-undang antarabangsa menjamin kebebasan pelayaran, kehadiran kapal perang dan kapal, Laut China Selatan berpotensi mencetuskan ketegangan, seterusnya mengakibatkan salah percaturan yang boleh mempengaruhi keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau itu, tambahnya. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!