Home Semasa COVID-19: Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan sehingga 12 Mei

COVID-19: Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan sehingga 12 Mei

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 23 Apr – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan dua minggu lagi iaitu sehingga 12 Mei 2020, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pelanjutan tempoh PKP ini dibuat selepas kerajaan meneliti data-data terkini yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menentukan langkah seterusnya bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini.

“Saya juga tidak menolak kemungkinan bahawa PKP akan dilanjutkan lagi selepas ini,

“Saudara-saudari mungkin tidak boleh menyambut hari raya di kampung. Saudara-saudari masih tidak boleh bekerja, kecuali bagi mereka yang bekerja dalam sektor yang dibenarkan,

“Perniagaan juga masih belum boleh dibuka sepenuhnya,” jelas Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas di Putrajaya, hari ini.

Muhyiddin berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan data-data yang dibentangkan oleh KKM yang mendapati usaha-usaha untuk membendung wabak COVID-19 masih perlu diteruskan.

“Walaupun angka-angka menunjukkan perkembangan yang positif, langkah-langkah, yang kita ambil hendaklah diteruskan sampai ke satu masa di mana kita yakin wabak COVID-19 dapat dibendung sepenuhnya,” katanya lagi.

Ekoran penurunan ketara kes positif COVID-19 di negara kebelakangan ini, Muhyiddin berkata kerajaan berkemungkinan akan melonggarkan kawalan pergerakan secara bertahap dalam beberapa sektor termasuk sektor sosial.

“Ini adalah bagi membolehkan rakyat menjalani kehidupan yang lebih selesa,

“Majlis Keselamatan Negara sedang merangka satu pelan yang menyeluruh mengenai perkara ini,” tambah Perdana Menteri.

Perintah kawalan ini merupakan PKP fasa keempat yang dilaksanakan oleh kerajaan. Kerajaan telah mengumumkan PKP ketiga dilanjutkan selama dua minggu iaitu bermula 15 hingga 28 April depan.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!