PUTRAJAYA, 22 Apr – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan satu kluster baharu yang bermula di Pengerang, Johor sebanyak 15 kes positif wabak pandemik COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Noor Hisham Abdullah berkata kes indeks kluster itu iaitu kes ke-1,508 mula mengalami gejala berkenaan pada 12 Mac 2020.
“Pesakit telah dirawat di sebuah klinik swasta pada 16 Mac 2020 dan disyaki sebagai menghidap demam denggi,
“Pada keesokan hari, beliau telah merentas beberapa buah negeri untuk mengunjungi sanak saudara di sekitar Selangor sebelum pulang ke Pengerang pada 18 Mac 2020,
“Keadaan kesihatan beliau mula merosot dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor pada 20 Mac 2020 dalam keadaan yang kritikal. Beliau seterusnya disahkan positif jangkitan COVID-19 pada 22 Mac 2020,” katanya Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian COVID-19 hari ini.
Menurut Dr Noor Hisham lagi, setakat 22 April 2020, kluster Pengerang melibatkan sebanyak 15 kes positif COVID-19 iaitu 10 orang rakan sekerja dan lima orang ahli keluarga kes indeks termasuk ibu pesakit yang berusia 79 tahun dan anak perempuannya berusia 10 tahun.
“Sebanyak tujuh kes daripada kluster ini masih dalam rawatan manakala lapan kes lagi telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar wad,
“Secara keseluruhan, tiga kes di dalam kluster ini telah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),” ujarnya.
Beliau berkata jangkitan di kalangan ahli keluarga yang menetap di negeri lain adalah dipercayai berpunca daripada aktiviti kunjung mengunjung yang berlaku sehari sebelum pelaksanaan PKP.
Dalam pada masa sama, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan hari ini melaporkan satu kematian berkaitan COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kumulatif sebanyak 93 kes.
“Kes kematian ke-93 (kes ke-5,483) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah dan darah tinggi,
“Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 22 April 2020 jam 9.15 pagi,” katanya.
Selain itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat 103 kes yang telah pulih dan dibenarkan keluar wad hari ini.
“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah dibenarkan keluar daripada wad adalah sebanyak 3,452 kes,
“Justeru, bilangan kes yang di benarkan keluar wad hari ini adalah lebih dua kali ganda bilangan kes yang dilaporkan,” ujarnya.
Manakala sehingga jam 12:00 tengah hari, terdapat 50 kes baharu yang telah dilaporkan dan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 adalah sebanyak 5,532 kes.
“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,987 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,
“Sehingga kini, seramai 43 kes positif COVID-19 sedang dirawat di ICU. Daripada jumlah tersebut, 25 kes memerlukan bantuan pernafasan,” tambahnya lagi. – AirTimes