Home Semasa Jurujual jam, pelajar kolej ditahan hina agama Islam

Jurujual jam, pelajar kolej ditahan hina agama Islam

by Bernama

IPOH, 20 Apr – Polis menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai jurujual jam dan seorang pelajar wanita kolej kerana disyaki terlibat dalam kes mempersendakan agama Islam melalui rakaman video tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, A Asmadi Abdul Aziz berkata, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menahan suspek lelaki berusia 20 tahun itu di Taman Kledang, Menglembu dekat sini, pada malam Sabtu, sebelum menahan rakan sebayanya di Taman Silibin Ria.

“Lelaki itu mengaku melakukan watak solat dalam video berkenaan dan rakan wanitanya mengaku merakam perbuatan tersebut menggunakan telefon miliknya, dengan niat untuk bergurau di sebuah inap desa di Taman Lapangan Terbang, sebelum memuat naik ke Instagramnya.

“Rakaman itu dilakukan pada 28 Okt lepas kira-kira 1.27 pagi, berdasarkan semakan di telefon bimbit berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Asmadi berkata, siasatan awal mendapati wanita itu memadamkan video yang dimuat naik ke Instagramnya kerana takut selepas ia tular.

Katanya, polis merampas 2 telefon bimbit dan kedua-dua individu itu direman 4 hari sehingga 22 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Video selama 28 saat itu menunjukkan seorang lelaki berbaju hitam dan berseluar pendek hitam, sedang berlakon bersolat dalam keadaan bergurau sambil gelak ketawa bersama rakannya.- Bernama

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!