Home Pertahanan dan Keselamatan Bantuan khas RM500, ringankan beban veteran tentera tidak berpencen

Bantuan khas RM500, ringankan beban veteran tentera tidak berpencen

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 20 Apr – Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM), Datuk Ismail Abidin berkata Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diberikan kerajaan secara one-off dapat meringankan beban veteran tidak berpencen.

Menurut Ismail Abidin, dengan situasi negara yang sedang menghadapi wabak pandemik COVID-19, bantuan khas ini amat penting kerana kebanyakan veteran tidak berpencen tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Dalam pada masa sama, ada juga dikalangan mereka (veteran) yang hilang pekerjaan,” katanya kepada AirTimes ketika dihubungi hari ini.

Ismail Abidin juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang amat prihatin kepada veteran tentera tidak berpencen dengan memberi bantuan ini.

Tambahnya lagi, masih ramai veteran tidak berpencen yang masih belum mendaftar dengan persatuan dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Saya menyeru agar semua veteran tidak berpencen agar mengemaskini secara atas talian butir-butir peribadi dan juga nombor akaun bank agar pembayaran dapat dibuat dengan segera,

“Mereka boleh meminta anak atau keluarga tolong kemaskini ataupun boleh berhubung terus dengan JHEV disetiap negeri atau PVATTBM di setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Artikel berkaitan: COVID-19: 179,198 veteran ATM tidak berpencen terima bantuan khas RM500

Pada Jumaat lepas, Menteri Pertahanan telah mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 melalui pakej PRIHATIN kepada veteran ATM tidak berpencen.

Bantuan secara one-off tersebut akan disalurkan kepada kira-kira 179,198 veteran yang tidak berpencen, melibatkan peruntukan RM89.5 juta, namun pembayaran itu tidak melibatkan waris mereka mulai 23 April 2020.

Namun sehingga kini, hanya 65,000 veteran tidak berpencen yang telah mendaftar dengan JHEV. Pendaftaran boleh dibuat melalui http://daftar.jhev.gov.my sehingga 31 Oktober 2020 untuk mendapatkan bantuan berkenaan – AirTimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!