IPOH, 19 Apr – Ahli Dewan Undangan Negeri Perak (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria hari ini memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia diatas kesilapan yang membabitkan dirinya.
Beliau membuat sedemikian setelah tular beberapa keping gambar yang membabitkan dirinya dan beberapa pemimpin parti politik berkumpul secara beramai-ramai sehingga menimbulkan kecaman netizen ekoran melanggar penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19.
“Saya memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat atas kekhilafan yang berlaku,
“Pencerahan yang saya berikan ini bukan untuk dikecualikan daripada tindakan undang-undang tetapi untuk menjelaskan keadaan sebenar,” jelasnya.
Razman yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri Perak membuat permohonan maaf itu secara terbuka menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Menurut Razman, pihaknya sentiasa mengutamakan arahan PKP ketika melihat petugas barisan hadapan yang sedang bertugas membantu kerajaan dalam mengekang penularan wabak ini.
“Setiap malam petugas kami menghantar makanan kepada petugas sekatan jalanraya disekitar Bagan Serai khususnya,
“Dalam setiap tindakan, kami amat titik beratkan perihal Prosedur Operasi Standard (SOP) dan sekiranya ada tindakan kami yang dilihat melanggar SOP InshaAllah kami akan atasi,
“Sekali lagi saya mohon maaf dan terima kasih rakyat Malaysia, saya sayang anda semua,” jelasnya.
Semalam, tular di media sosial gambar-gambar Razman dan beberapa individu bersama-sama dengan seorang Timbalan Menteri hadir jamuan di sebuah Maahad Tahfiz di Lenggong semasa PKP bagi mengekang penularan COVID-19 sedang dilaksanakan.