PUTRAJAYA, 19 Apr – Kerajaan hari ini memutuskan tempoh pendaftaran kelahiran dan kematian akan dilanjutkan sehingga 90 hari selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membenarkan lanjutan itu dilaksanakan dan penalti yang seharusnya dikenakan akan turut dimansuhkan.
“Disebabkan kawalan pergerakan PKP, kerajaan faham semua urusan pendaftaran kelahiran dan kematian bagi warganegara Malaysia tertangguh.
“Oleh itu, KDN telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh pendaftaran selama 90 hari selepas PKP ditamatkan dan KDN juga telah membuat keputusan bayaran penalti dikecualikan,
“Jadi untuk pendaftaran kelahiran anak dan mendaftar kematian boleh dibuat sehingga 90 hari setelah tamat PKP,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Ismail Sabri turut menegaskan, individu yang kehilangan kad pengenalan dan memerlukan pengantian segera boleh membuat temujanji dengan pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang berhampiran.
“Hanya mereka yang perlu sahaja. Yang lain-lain tidak perlu bimbang, kalau tiada kes keperluan segera untuk menukar kad pengenalan masing-masing, mereka boleh tunggu sehingga PKP ditamatkan,
“Bagi rakyat yang berada di luar negara, mereka juga diberikan tempoh sehingga 90 hari selepas tamat tempoh PKP di negara berkaitan untuk membuat pendaftaran melalui pejabat kedutaan,
“Ini akan menyelesaikan masalah pendaftaran kematian dan kelahiran serta kehilangan kad pengenalan sepanjang tempoh PKP,”jelas Ismail Sabri.