PUTRAJAYA, 18 Apr – Individu yang mempunyai hal-hal kecemasan seperti kematian ahli keluarga atau isu kesihatan sahaja yang dibenarkan untuk menaiki penerbangan antara negeri sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan (Bahagian Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka yang ingin melakukan perjalanan sedemikian, perlu mendapatkan surat kebenaran dari balai polis yang berdekatan.
“Polisi kerajaan berhubung dengan pergerakan antara negeri (interstate travel) masih kekal sama, sama ada melalui jalan darat, udara ataupun laut sekalipun,
“Jadi, penumpang-penumpang yang ingin menggunakan penerbangan, perlu mengikut prosedur operasi standard perjalanan di darat iaitu di dalam kes-kes kecemasan sahaja yang kita benarkan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat menteri mengenai pelaksanaan PKP, di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata hal ini kerana, pergerakan merentasi negeri adalah salah sepanjang PKP dilaksanakan.
“Di bawah Akta 342, adalah menjadi kesalahan jika mereka bergerak lebih 10 kilometer,” tambah Ismail Sabri.
Ismail Sabri turut menegaskan tiada penerbangan domestik di Semenanjung Malaysia dibenarkan beroperasi selain penerbanagan sekali dalam seminggu ke Sabah dan Sarawak, mengikut ketetapan Kementerian Pengangkutan (MOT).
“Walaubagaimana pun, untuk ke Sabah dan sarawak seperti yang telah di umumkan oleh Menteri Pengangkutan, penerbangan akan dilaksanakan hanya sekali dalam seminggu,
“Untuk Sabah dan Sarawak, sesiapa sahaja pulang dari Semenanjung, mereka perlu dikuarantin wajib di Sabah dan Sarawak. Jadi tidak timbul isu status kesihatan mereka dan sebagainya kerana mereka tetap dikuarantin wajib,
“Individu yang transit lama di Semenanjung turut dikuarantin sebaik sahaja keluar dari lapangan terbang. Termasuk mereka yang datang dari Sabah dan Sarawak,” katanya.