PUTRAJAYA, 17 Apr – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 601 kes postif COVID-19 melibatkan warga asing dikesan di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, seramai 356 orang sedang menerima rawatan, 242 kes telah pulih sepenuhnya dan 3 kes kematian dicatatkan.
“Mereka termasuk kumpulan pelancong, pekerja asing, golongan pelarian dan pemohon suaka (asylum seeker),
“Daripada jumlah tersebut, warganegara yang dikesan ialah Indonesia seramai 108 orang, Filipina (104); Bangladesh (63); India (60) dan Pakistan (51),” kata Dr Noor Hisham pada sidang media hariannya hari ini.
Dalam masa yang sama, Dr Noor Hisham turut menjelaskan 2 kematian berkaitan jangkitan COVID-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari ini.
“Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini sebanyak 86 kes,” katanya.
Manakala bilangan kes baharu positif COVID-19 pula, beliau berkata, sebanyak 69 kes dilaporkan hari ini, dengan mencatatkan 5,251 kes keseluruhan dalam negara.
“Daripada jumlah itu, seramai 51 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), 26 menggunakan bantuan alat pernafasan,
“Bilangan pesakit yang telah pulih dan dibenarkan discaj adalah seramai 201, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 sebanyak 2,967 kes,
“Ini menjadikan bilangan kes yang didiscaj hari ini adalah hampir tiga kali ganda bilangan kes baharu yang dilaporkan,” jelas Dr Noor Hisham.
Berikut laporan terperinci kematian akibat COVID-19 dalam negara hari ini;
- Kes kematian ke-85 (kes ke-5064) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19, iaitu kes ke-4657 berkaitan dengan kluster PUI Bali. Beliau telah dirawat untuk penyakit barah darah di sebuah pusat perubatan swasta dan kemudiannya dipindah ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 15 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 16 April 2020 jam 3.30 petang.
- Kes kematian ke-86 (kes ke-5183) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan strok. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19, iaitu kes ke-2321. Beliau telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 1 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 16 April 2020 jam 8.56 malam.KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.