Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Pesawat A400M TUDM terbangkan bantuan bekalan makanan asas ke Labuan

Pesawat A400M TUDM terbangkan bantuan bekalan makanan asas ke Labuan

by Air Times News Network

SUBANG, 16 Apr – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan penerbangan membawa bantuan bekalan makanan asas ke Labuan semalam.

TUDM dalam satu kenyataan berkata, misi penerbangan itu menggunakan pesawat pengangkut A400M dari No 22 Skuadron Pangkalan Udara Subang.

“Penerbangan ini membawa makanan asas seperti beras, minyak masak, biskut, gula dan sardin yang disumbangkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan rakan strategik dari Kuala Lumpur,

“Urusan agihan bekalan makanan ini akan diseliakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) kepada golongan yang memerlukan di Labuan,” katanya.

Penerbangan pengkhidmatan logistik dengan pesawat A400M ini telah dikendalikan oleh Mej In’amul Hasan Shuhaimy Basha TUDM, dibantu Kapt Noor Mohamad Farhan Mohamad Noor TUDM dan 3 anak kapal.

“Pesawat tersebut berlepas pada jam 5.50 petang dari PU Subang dan selamat tiba di PU Labuan pada jam 9.35 malam dari Kota Kinabalu bagi menunaikan tanggungjawab sosial penghantaran bekalan makanan asas ini yang diterima oleh pihak JAWI WP Labuan,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu lagi, TUDM menghargai pengorbanan semua warga kerjanya yang telah terlibat dalam membantu menjayakan setiap misi penghantaran udara.

“Negara ketika ini berhadapan dengan krisis kesihatan global berikutan pandemik COVID-19 yang memerlukan penglibatan semua peringkat secara menyeluruh untuk menghentikan wabak ini sepenuhnya,” katanya. – Air Times

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!