KUALA LUMPUR, 16 Apr – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah diletakkan dalam senarai tiga doktor terbaik dan diyakini di dunia atas usaha menangani wabak pandemik COVID-19 di negara ini.
Pengiktirafan itu diberikan oleh sebuah stesen televisyen China, Global TV Network (CGTN) yang turut menyenaraikan Dr. Anthony Fauci dari Amerika Syarikat dan Dr. Ashley Bloomfield dari New Zealand.
CGTN dalam laman webnya berkata, ketiga-tiga doktor itu dipuji sejak beberapa minggu lalu berikutan ketenanganya dan sikap jujur selain menjadi sumber maklumat yang boleh dipercayai untuk negara masing-masing semasa menangani penularan wabak berkenaan.
Dr Noor Hisham, 56 memegang jawatan Ketua Pengarah Kesihatan sejak 2013, sebagai individu paling dipercayai oleh rakyat Malaysia kerana kekerapannya mengemas kini situasi semasa berkenaan COVID-19 di platform media sosial.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Dr Noor Hisham diatas penghormatan yang diberikan kepadanya.
“Satu penghargaan dan penghormatan yang tinggi kepada bidang perubatan negara apabila Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan diiktiraf oleh China Global Television Network sebagai antara tiga doktor terbaik dunia menangani situasi COVID-19,
“Saya sebagai Menteri Kesihatan Malaysia dan seluruh warga Kementerian Kesihatan Malaysia berbangga dengan pencapaian KPK. Tahniah dari kami semua!,” tambah Dr Adham dalam catatan Facebooknya semalam.