KUALA LUMPUR, 15 Apr – Hari ini bermulanya fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menuntut komitmen lebih jitu setiap rakyat bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di negara ini.
Sudah 29 hari sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu dan rakyat perlu terus kuat dan berdisiplin untuk melalui tempoh PKP fasa ketiga, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan minggu depan yang menuntut the new normal atau kebiasaan baharu apabila tidak dapat ke bazar dan menunaikan tarawih berjemaah di masjid.
Pastinya, semua mahu ‘bebas’ dan kembali ke norma kehidupan biasa secepat mungkin, tetapi jika masih ada yang berdegil dengan tidak mematuhi arahan PKP, kita mungkin melalui beberapa lagi fasa PKP.
Bagi memastikan tahap pematuhan rakyat terhadap PKP lebih tinggi, kerajaan memutuskan mulai hari ini, sesiapa yang masih ingkar akan terus ditahan untuk dikenakan tindakan mahkamah dan tidak lagi dikompaun seperti fasa pertama dan kedua PKP.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan berdasarkan Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), mahkamah boleh mengenakan hukuman penjara maksimum dua tahun dan kesalahan seterusnya penjara lima tahun.
Menurut beliau, jumlah kumulatif yang ingkar PKP sehingga Isnin lalu adalah 9,090 orang.
Dalam pada itu, jumlah kes positif COVID-19 di negara ini setakat 12 tengah hari semalam, adalah 4,987 kes dengan 82 kematian direkodkan setakat ini.
Bagaimanapun, keadaan COVID-19 di Malaysia merekodkan perkembangan baik apabila jumlah pesakit yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj dari wad telah mencapai jumlah kumulatif 2,478 orang, iaitu 49.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. –Bernama