PUTRAJAYA, 15 Apr – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mewartakan sebanyak 13 Akademi Penjara sebagai pusat tahanan sementara bagi individu yang dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan mengingkari Perintah Kawalan Pengerakan (PKP).
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mesyuarat khas Menteri-menteri semalam telah bersetuju untuk mewartakan Akademi Penjara kepada pusat tahanan bagi pesalah PKP untuk menyelesaikan isu penjarakkan sosial kepada pesalah ingkar PKP semasa menjalani hukuman di penjara.
“Peraturan dan undang-undang di pusat ini sama dengan penjara biasa,
“Bukan bermakna bila masuk ke pusat penjara ini ada makanan bermewah-mewah dan sebagainya, ia tetap mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti penjara biasa,
“Perkara lebih lanjut mengenai perundangan akan dibincangkan bersama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan Jabatan Penjara Malaysia,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas Menteri-menteri hari ini.
Beliau berkata SOP Jabatan Penjara Malaysia akan digunapakai di premis yang telah diwartakan sebagai pusat tahanan sementara kepada pesalah-pesalah menjalani hukuman sama seperti di penjara biasa.
Menurutnya lagi, sehingga semalam PDRM telah menangkap 612 individu dan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 9,702 individu ditahan kerana ingkar PKP.
“Jumlah tangkapan semalam merangkumi 590 individu yang direman dan 15 individu dijamin polis,
“Sebanyak 337 individu telah dituduh di Mahkamah atas kesalahan mengingkari PKP,” katanya.
Selain itu, Ismail Sabri berkata kerajaan tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang masih berdegil mengingkari PKP.
“Tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa yang didapati tidak mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya. – Airtimes