Home Semasa Kluster baharu COVID-19 dikesan di Sendayan – Noor Hisham

Kluster baharu COVID-19 dikesan di Sendayan – Noor Hisham

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 14 Apr – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan satu kluster baharu penularan wabak pandemik COVID-19 di Sendayan, Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tindakan bersepadu telah sedang dilaksanakan oleh pihaknya di lapangan bagi membendung penularan wabak berkenaan di kawasan itu.

“Bagaimanapun, jemaah tabligh di perhimpunan Sri Petaling masih kekal sebagai kluster terbesar COVID-19 di negara ini dengan 40 peratus,

“Terdapat peningkatan kes mendadak di Negeri Sembilan disebabkan kluster baharu ini apabila 39 orang disahkan positif COVID-19,

“Mereka terdiri daripada 13 pelajar tahfiz, satu keluarga merangkumi 11 orang dan 15 orang lembaga pengarah,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dalam masa yang sama, Dr Noor Hisham turut menjelaskan KKM sudah mengambil 573 sampel bagi mengesan penularan wabak COVID-19 di Masjid India serta kawasan sekitar yang telah diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.

“Di Masjid India, setakat ini tidak ada kes positif atau kes baharu yang dikesan tetapi KKM sudah mengambil tindakan dengan mengambil sampel ujian di kawasan berkenaan,

“Jadi, kita terpaksa menunggu beberapa hari sebelum memperoleh keputusan ujian terhadap sampel yang diambil,” jelasnya.

Menurutnya, PKPD dilaksanakan supaya penularan wabak itu dapat dibendung dan tidak merebak ke kawasan lain seperti yang berlaku di empat kawasan PKPD lain yang dilihat berkesan menangani jangkitan.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa kerajaan telah mengambil keputusan untuk melaksanakan PKPD yang Kelima di sekitar kawasan Masjid India, Kuala Lumpur bermula hari ini sehingga 28 April 2020.

Langkah tersebut dibuat selepas KKM mendapati pertambahan jumlah kes positif COVID-19 di kawasan berkenaan. – Airtimes

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!