SUBANG, 14 Apr – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini melaksanakan penerbangan membawa 19,000 topeng muka untuk kegunaan petugas barisan hadapan memerangi penularan wabak pandemik COVID-19 di Sabah dan Sarawak.
TUDM dalam satu kenyataan berkata, misi penerbangan itu melibatkan pesawat pengangkut A400M dari No 22 Skuadron, Pangkalan Udara (PU) Subang.
“Penerbangan tersebut juga membawa barang keperluan perubatan dan kesihatan untuk fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Sabah dan Sarawak,
“Barang-barang yang dihantar terdiri daripada spesimen klinikal tambahan dan keperluan peralatan Personal Protective Equipment (PPE) untuk kegunaan petugas perubatan,
“Manakala sebanyak 19,000 keping topeng muka telah disalurkan oleh kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi kegunaan kumpulan barisan hadapan,” kata kenyataan itu.
Menurut TUDM, pesawat telah diterbangkan oleh Mejar Mohd Shafique Mohd Amin TUDM dibantu oleh Kapten Syahmi Nazri TUDM bersama 3 anak kapal lain.
“Pesawat A400M telah berlepas pada jam 7.00 pagi di PU Subang, dan selamat tiba di PU Kuching pada jam 8.45 pagi untuk menurunkan barang-barang keperluan di Sarawak,
“Seterusnya, pesawat meneruskan penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan selamat mendarat pada jam 1.25 petang,” ujarnya.
Turut sama dalam misi penghantaran udara ini adalah Pegawai Memerintah No 22 Skn, Leftnenan Kolonel Yusrizal Zain TUDM.
Sebelum itu, proses memuat naik barang-barang ke dalam pesawat A400M bermula jam 5.00 pagi di PU Subang dan telah dilaksanakan oleh anggota TUDM yang bertugas di Cabang Pergerakan Udara.
“Misi penghantaran udara ini membuktikan TUDM sentiasa dalam keadaan siap siaga sebilang masa dari segi aset serta anak kapal,
“TUDM akan terus memberikan komitmen kepada kerajaan dan juga agensi-agensi terlibat dalam usaha memerangi COVID-19 yang mengancam negara dan dunia,” kata kenyataan itu lagi – Airtimes
Galeri Gambar: