Home Pertahanan dan Keselamatan Anggota tentera pakai kelengkapan ‘serius’, perketat PKPD – Affendi

Anggota tentera pakai kelengkapan ‘serius’, perketat PKPD – Affendi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 11 Apr – Kelengkapan ‘serius’ bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah bagi memperkukuhkan lagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang kini memasuki fasa ke-3.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata anggota tentera yang bertugas di PKPD diarahkan untuk memakai kelengkapan ‘serius’ itu, termasuk pemakaian helmet dan penggunaan senjata dalam memastikan keselamatan anggota di barisan hadapan.

“Anggota ATM yang bertugas di kawasan PKPD diarahkan untuk memakai helmet tempur bagi keadaan tertentu dalam mengetatkan kawalan,

“Mereka yang membuat pengawasan ini mesti dilengkapi peralatan yang lebih serius termasuk membawa masuk senjata,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Affendi, pemakaian kelengkapan tersebut adalah bagi memastikan keselamatan mereka semasa bertugas. Selain itu, ia dilaksanakan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai yang masih ingkar, agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan yang tular di media sosial semalam mengenai anggota tentera memakai helmet untuk elak air kencing warga asing di kawasan PKPD iaitu di Selangor Mansion.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim mengesahkan menerima laporan berhubung perbuatan segelintir penghuni Selangor Mansion membaling objek seperti botol, bungkusan sampah serta pasu bunga terhadap anggota tentera yang bertugas memasang ‘concertina wire’ di kawasan itu.

Bagaimanapun, Affendi berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan kejadian anggota tentera dibaling dengan air kencing warga asing ketika bertugas di bangunan Selangor Mansion semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana cuba mendatangkan kecederaan kepada penjawat awam.

Tiga bangunan yang dikenakan PKPD adalah Menara Plaza City One di Jalan Munshi Abdullah, bangunan Malayan Mansion dan Selangor Mansion di Jalan Masjid India.

Terdahulu, Affendi bersama Mazlan meninjau sekitar kawasan operasi di Pasar Borong Kuala Lumpur dan mendapati orang ramai memberikan reaksi positif dengan mematuhi waktu PKP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!