Home Semasa COVID-19: 2 kematian, 109 kes baharu dicatat hari ini

COVID-19: 2 kematian, 109 kes baharu dicatat hari ini

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 9 Apr – Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melaporkan pertambahan 2 kes kematian terbaharu berkaitan wabak pandemik COVID-19 pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pelaporan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat wabak berkenaan di Malaysia adalah 67 kes.

“Kes kematian ke-66 (kes ke-2,798) adalah merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 59 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit autoimun dan beberapa penyakit kronik yang lain,

“Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling dan telah dirawat di Hospital Melaka pada 31 Mac 2020 serta disahkan meninggal dunia 9 April 2020 pada jam 5.00 pagi,” katanya pada sidang media perkembangan terkini COVID-19.

Manakala kes kematian ke-67 (kes ke-2,864) merupakan seorang perempuan warganegara Malaysia berumur 23 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit tiroid.

“Beliau juga mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes ke-2,469 dan kes ke-2,470,

“Pesakit merupakan kes generasi ke-5 kluster persidangan gereja di Kuching, Sarawak dan bukan peserta persidangan tersebut,

“Pesakit telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 30 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 9 April 2020 jam 9.42 pagi,” ujarnya.

Menurut Dr Noor Hisham, setakat jam 12 tengahari hari ini, sebanyak 109 kes positif baharu telah dilaporkan dan menjadikan jumlah kumulatif positif adalah sebanyak 4,228 kes.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 121 kes yang telah pulih dan dibenarkan keluar wad hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar wad sebanyak 1,608 kes iaitu bersamaan dengan 38 peratus keseluruhan,

“Jumlah kes yang telah pulih dan dibenarkan keluar wad adalah melebihi dari kes positif baharu,” katanya.

Manakala pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 72 kes dan seramai 43 kes daripada jumlah itu memerlukan bantuan alat pernafasan.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!