KUALA LUMPUR, 8 Apr – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkatkan kawalan keselamatan dengan menambah bilangan pegawai dan anggota yang bertugas di semua sempadan serta perairan di seluruh negara bagi menguatkuasakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata sehingga hari ini, pihaknya telah menempatkan seramai 2,197 pegawai dan anggota yang terdiri dari Pasukan Gerakan AM (PGA) bertugas di seluruh sempadan negara bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin.
“Kawalan di sempadan negara terus dipertingkatkan di utara iaitu berhampiran Thailand, pesisir pantai barat Johor dan sempadan Sabah serta Sarawak sepanjang tempoh PKP,
“Bilangan anggota bertugas dipertingkat sebanyak 50 peratus berbanding bilangan sebelum pelaksanaan PKP ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.
Acryl Sani turut menjelaskan, seramai 4,900 orang pegawai dan anggota PGA telah ditugaskan untuk membantu kontijen negeri dalam melaksanakan pelaksanaan PKP di seluruh negara.
Dalam masa yang sama, Acryl Sani berkata, PDRM akan memperketatkan laluan di perairan sebelah pantai barat Semenanjung iaitu kawasan Pontian serta pantai timur Johor selepas disyaki sering dijadikan laluan oleh pendatang asing tanpa izin.
“Pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor telah menyelaraskan operasi dan penugasan yang akan dilaksanakan oleh Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
“Kami juga akan mohon kerjasama daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk melakukan pintasan di laut bagi menyekat laluan yang sering digunakan oleh pendatang asing tanpa izin,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, pihaknya akan mengenalpasti setiap tekong-tekong darat khususnya warganegara Malaysia yang menjadi dalang kepada kemasukkan pendatang asing ke negara ini.
“Polis akan mempertingkatkan koordinasi antara Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Jabatan Siasatan Jenayah serta Cawangan Khas untuk mengenal pasti tekong ini,
“Tindakan penguatkuasaan akan dikenakan kepada tekong-tekong ini di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA),” tegas Acryl Sani.