Home Semasa Kawat berduri untuk pemantauan lebih sistematik laksana PKPD

Kawat berduri untuk pemantauan lebih sistematik laksana PKPD

by Bernama

IPOH, 8 Apr – Pagar kawat berduri yang dipasang di kawasan operasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bertujuan memudahkan anggota tentera dan polis mengawal pergerakan orang ramai dengan lebih sistematik.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata kawalan pergerakan orang ramai secara berkesan di kawasan itu penting bagi membendung penularan wabak COVID-19.

“Kita pasang di tempat-tempat kritikal dan pelaksanaannya perlu melihat sejauh mana serius situasi di sesuatu kawasan,

“Kita bayangkan bagaimana sekiranya hanya meletakkan kon dan seramai 30 orang terus berlari keluar dan (jika) mereka ini pula pembawa wabak yang positif boleh menyebabkan penyebaran wabak kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau pelaksanaan Op Penawar bersama Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain di Jalan Tambun, hari ini.

Setakat ini, sebanyak empat kawasan disenaraikan untuk PKPD iaitu Sungai Lui di Hulu Langat, Selangor; Simpang Renggam. Johor; Menara City One serta Selangor Mansion dan bangunan Malayan Mansion di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Ahmad Hasbullah berkata peranan anggota tentera dalam sekatan jalan raya bersama pihak polis tertakluk kepada arahan pihak kerajaan.

“Anggota tentera dan polis masing-masing mempunyai fungsi tersendiri dalam operasi Perintah Kawalan Pergerakan. Buat masa ini tentera diarahkan untuk membantu pihak polis dalam melaksanakan PKP,” katanya. – Bernama

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!