KUCHING, 6 Apr – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan empat lagi operasi penerbangan menghantar bekalan makanan di pedalaman Sarawak yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Operasi penerbangan itu menggunakan helikopter EC725 AP dari No 5 Skuadron Pangkalan Udara Labuan.
TUDM dalam satu kenyataan hari ini berkata, penerbangan yang melibatkan dua set anak kapal itu diterbangkan oleh Lt Kol Vachiral Ratanaphan a/l Ban Teang TUDM dan Mej Frezal Raynol @ Zainal TUDM.
“Penghantaran bekalan makanan itu telah dibuat ke perkampungan Long Lellang, Pa Tik dan Ba Lai,
“Terdahulu, kerja-kerja membawa bekalan makanan asas ke dalam helikopter EC 725 AP dilakukan di Lapangan Terbang Miri bermula seawal jam 7.00 pagi dengan kerjasama anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di bawah naungan Markas Pemerintahan Medan Timur,” katanya lagi.
Semalam, empat penerbangan pertama telah dilaksanakan oleh TUDM bagi menghantar bekalan makanan asas ke Bario, Sarawak.
“TUDM khususnya akan terus komited dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan demi mengutamakan kesejahteraan rakyat terutamanya semasa krisis COVID-19,” ujar kenyataan itu.