SUBANG, 3 Apr – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini melaksanakan tanggungjawab sosial dengan menerbangkan 100 unit kotak perlindungan (aerosol box), spesimen klinikal tambahan kepada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta peralatan Personal Protective Equipment (PPE) untuk kegunaan kumpulan barisan hadapan mendepani pandemik COVID-19 di Sabah dan Sarawak.
TUDM dalam satu kenyataan hari ini berkata, operasi penerbangan tersebut menggunakan pesawat pengangkut A400M dari No 22 Skuadron, Pangkalan Udara Subang.
“Kotak perlindungan tersebut telah dihasilkan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu sukarelawan bekas Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) dengan kerjasama Persatuan Bekas Putera (Old Putera Association (OPA),
“Kotak itu mempunyai 2 jenis iaitu “Intubation Type” (digunakan semasa prosedur ‘endotracheal intubation’) dan “Sampling Type” (digunakan semasa prosedur mengambil ‘swab’),” kata kenyataan itu.
Menurutnya, peralatan tersebut bertujuan menghalang transmisi “droplets” dari pesakit-pesakit yang berkemungkinan mempunyai COVID-19 berjangkit kepada petugas-petugas perubatan.
“Persatuan Bekas Putera setakat ini telah pun menyalurkan 108 unit kepada fasiliti-fasiliti kesihatan di negeri-negeri Semenanjung Malaysia, dan 100 unit ini akan disalurkan kepada fasiliti-fasiliti kesihatan di negeri Sarawak,
“Kotak perlindungan aerosol ini akan digunakan oleh petugas-petugas kesihatan di barisan hadapan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti terutamanya semasa mereka bertugas membuat saringan, pemeriksaan dan rawatan kepada pelbagai lapisan pesakit yang datang ke fasiliti kesihatan sama ada di Klinik Kesihatan (KK), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan hospital,” ujarnya.
Manakala untuk spesimen klinikal tambahan, ianya terdiri daripada bekalan peralatan makmal, farmasi, “Personal Protective Equipment” (PPE) dan peralatan perubatan kritikal untuk disalurkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah bagi kegunaan fasiliti-fasiliti pusat kesihatan di negeri itu.
“Peralatan-peralatan perubatan tersebut adalah juga dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Angkatan
Pertahanan Awam Malaysia (APM), katanya.
Pesawat tersebut telah berlepas kira-kira jam 7.00 pagi tadi dari Subang ke kedua-dua destinasi Sabah dan Sarawak.
“Pesawat ini telah diterbangkan oleh Mejar Lo Chee Sing TUDM dan dibantu oleh Kapt Mohd Erid Abd Rahim TUDM selaku pembantu juruterbang bersama 5 anak kapal,
“TUDM akan sentiasa memberikan bantuan dan sokongan penuh kepada kerajaan serta agensi-agensi
lain dalam usaha menanggani penularan wabak COVID-19,” tambah kenyataan itu.