Home Pertahanan dan Keselamatan PKPD: ATM guna dron tingkat pemantauan udara di Simpang Renggam

PKPD: ATM guna dron tingkat pemantauan udara di Simpang Renggam

by Air Times News Network

JOHOR BAHRU, 3 Apr – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini menggunakan dron untuk melaksanakan pemantauan dari udara di Simpang Renggam dalam mempertingkatkan pematuhan masyarakat kepada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyanathan berkata, ATM telah menghantar dua pasukan dari Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP), Kementerian Pertahanan untuk melaksanakan pemantuan dari udara.

“Pemantauan ini akan dilaksanakan selama dua hari bermula hari ini hingga 4 April 2020 bagi memastikan masyarakat setempat mematuhi arahan PKPD,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), SWM, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan Negeri telah melaksnakan operasi sanitasi awam COVID-10 di kesemua daerah di Johor pada 2 April 2020.

“Kerajaan komited untuk terus bersiap siaga menghadapi COVID-19 di Johor. Sehingga hari ini sebanyak 14 stesen kuarantin telah diaktifkan di Johor untuk penempatan pesakit COVID-19 yang memerlukan pengawasan pasukan kesihatan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, semua bekalan makanan dan keperluan harian di Johor mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Menurut Vidyanathan lagi, sehingga 2 April 2020 Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah melaporkan penambahan sebanyak 27 kes baharu COVID-19 yang menjadikan jumlah sebanyak 395 kes.

“Sebanyak 3 kes kematian baru direkodkan bagi negeri Johor semalam,

“Purata peratusan pematuhan terhadap PKP di seluruh negeri pada 2 April 2020 adalah 96.96 peratus,” katanya.

PKPD di Simpang Renggam telah dikuatkuasakan mulai 27 Mac hingga 9 April ini dalam usaha memutuskan rantaian wabak COVID-19 melibatkan Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid serta sembilan kampung berhampiran.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!