PUTARAJAYA, 2 Apr – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 208 kes baharu positif COVID-19 dicatatkan setakat pukul 12 tengah hari tadi dan menjadikan jumlah kumulatif kes jangkitan sebanyak 3,116.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) telah melaporkan 5 kes kematian direkodkan hari ini.
“Jumlah kumulatif kematian di Malaysia setakat ini adalah sebanyak 50 kes iaitu dengan kadar 1.6 peratus daripada jumlah kes keseluruhan,” katanya.
Beliau juga menyatakan sebanyak 105 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan 54 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.
“Jumlah pesakit telah dibenarkan keluar wad adalah sebanyak 122 orang,
“Ini menjadikan jumlah pesakit yang telah sembuh dan dibenarkan keluar wad ialah 767. (Ini bersamaan dengan 24.6% daripada jumlah keseluruhan kes),” ujarnya.
Berikut adalah laporan terperinci 5 kematian kumulatif COVID-19 di Malaysia hari ini:
1. Kes kematian ke-46 (kes ke-2,909) merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 37 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kronik dan rendah imuniti. Beliau telah dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor pada 28 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 31 Mac 2020 jam 11.10 malam.
2. Kes kematian ke-47 (kes ke-2,910) merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 78 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan gout. Beliau telah dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Johor pada 19 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 29 Mac 2020 jam 9.10 malam.
3. Kes kematian ke-48 (kes ke-2,572) merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung. Beliau telah dirawat di Hospital Pakar Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 29 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 2 April 2020 jam 8.01 pagi.
4. Kes kematian ke-49 (kes ke-1,273) merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun dan mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 iaitu kes 2,107. Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 1 April 2020 jam 8.36 malam.
5. Kes kematian ke-50 (kes ke-1,767) merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun. Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 22 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 2 April 2020 jam 2.20 petang