HULU LANGAT, 1 April — Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memulakan bancian di tujuh kampung yang terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sungai Lui, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata bancian itu dibuat bertujuan memeriksa tahap kesihatan penduduk yang menunjukkan simptom COVID-19.
“Proses bancian berkenaan akan turut dibantu oleh pihak polis yang mengawal dari segi keselamatan di kampung itu,” katanya kepada pemberita di Dewan Serbaguan Kampung Sungai Lui, dekat sini, hari ini.
Katanya proses bancian itu dilakukan di tiga kampung hari ini manakala bancian di empat lagi kampung diteruskan esok dan dijangka mengambil masa selama tiga hari.
Tujuh kampung yang terlibat PKPD adalah Kampung Batu 21, Kampung Batu 22, Kampung Batu 23, Kampung Batu 24, Kampung Gemi, Kampung Orang Asli Paya Lebar dan Kampung Orang Asli Sungai Gabai.
Beliau berkata penduduk yang mempunyai simptom COVID-19 akan diarah untuk melakukan saringan COVID-19 di Klinik Desa Sungai Lui, dekat sini.
Ditanya mengenai jumlah keanggotaan polis yang terlibat dalam PKPD itu, beliau berkata pelaksanaan PKPD yang telah masuk hari ketiga melibatkan lapan pegawai dan 53 anggota polis.
Mengulas lanjut mengenai arahan pematuhan PKPD di kawasan berkenaan, Ahmad Dzaffir berkata setakat ini, kesemua 3,900 penduduk di kawasan itu mematuhi arahan PKPD dan memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa.
“Kami mendapati tiada aktiviti berlaku dalam radius lima kilometer di kawasan ini, polis juga melakukan rondaan berkala setiap jam di kawasan ini bagi memastikan arahan PKPD dipatuhi oleh penduduk,” katanya.
Kerajaan menguatkuasakan PKPD di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor, melibatkan tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu. Perintah yang berkuatkuasa mulai tengah malam 30 Mac hingga 13 April itu melibatkan 3,918 orang penduduk merangkumi 700 rumah.
PKPD itu dikuatkasakan berikutan terdapat 71 kes positif COVID-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz AnNabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui, Hulu Langat.- Bernama