Home Semasa COVID-19: 6 lagi kematian dilaporkan hari ini

COVID-19: 6 lagi kematian dilaporkan hari ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan melaporkan 6 lagi kes kematian dicatat di Malaysia akibat jangkitan COVID-19 hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah terkini kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 43 kes (1.65 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).Beliau juga memaklumkan terdapat 140 kes baharu yang telah dilaporkan CPRC haari ini.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,766 kes,

“Sehingga kini, seramai 94 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Daripada jumlah tersebut, 60 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham lagi, sehingga kini kes yang telah disahkan pulih dan dibenarkan keluar wad 58 kes hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah dibenarkan keluar wad adalah sebanyak 537 kes,” ujarnya.

Berikut adalah laporan terperinci 6 kematian kumulatif COVID-19 di Malaysia hari ini:

i. Kes kematian ke-38 (kes ke-2269) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 48 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau merupakan kontak kepada kes ke-2750. Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan pada 25 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 30 Mac 2020 jam 4.04 petang.

ii. Kes kematian ke-39 (kes ke-2626) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negara Arab Saudi. Beliau telah meninggal dunia pada 27 Mac 2020 di rumah beliau dan jenazah beliau dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.

iii. Kes kematian ke-40 (kes ke-2627) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor. Beliau disahkan meninggal dunia pada 26 Mac 2020 jam 1:03 petang.

iv. Kes kematian ke-41 (kes ke-1275) merupakan lelaki warganegara Indonesia berumur 40 tahun. Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 31 Mac 2020 jam 1.38 pagi.

v. Kes kematian ke-42 (kes ke-2628) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 81 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Beliau telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 31 Mac 2020 jam 7.09 pagi.

vi. Kes kematian ke-43 (kes ke-2629) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 73 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan penyakit jantung. Beliau telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 29 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 30 Mac 2020 jam 4.30 petang.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!