KUALA LUMPUR, 30 Mac – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan sebanyak 91 kes pesakit COVID-19 yang telah pulih dan dibenarkan keluar dari wad.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah dibenarkan keluar wad pada hari ini merupakan bilangan pesakit sembuh yang tertinggi dicatatkan dalam masa satu hari.
“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih adalah sebanyak 479 kes,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan sebanyak 156 kes positif baharu COVID-19 dan 3 kematian dicatatkan pada hari ini.
Beliau berkata jumlah keseluruhan jangkitan setakat ini sebanyak 2,626 kes dan jumlah kematian sebanyak 37 kes.
“Sehingga kini, seramai 94 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 62 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini COVID-19, hari ini.
Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan telah melaporkan terdapat 3 kes kematian seperti berikut:
1. Kes kematian ke-35 (kes ke-1952) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 57 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negara Indonesia. Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh dan disahkan meninggal dunia pada 29 Mac 2020 jam 4.00 petang.
2. Kes kematian ke-36 (kes ke-1941) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 47 tahun. Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 23 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 30 Mac 2020 jam 8.10 pagi.
3. Kes kematian ke-37 (kes ke-2471) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 46 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit autoimun. Beliau telah dirawat di Hospital Miri, Sarawak dan disahkan meninggal dunia pada 30 Mac 2020 Jan 9.22 pagi.