KUALA LUMPUR, 28 Mac – Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi menegaskan pengoperasian dron oleh pihak tentera dalam Op Penawar bertujuan mempertingkatkan keberkesanan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kita telah mengaturgerak tim dron untuk berkerjasama dengan pihak berkuasa dan ianya merupakan nilai tambah kepada operasi penguatkuasaan PKP,” kata Panglima Tentera Darat.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke Sekatan Jalan Raya dan pelaksanaan dron bagi Op Penawar di Cheras, hari ini.
Ahmad Hasbullah menambah, pengoperasian dron melibatkan rancangan bersama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Selain itu, pengunaan dron dapat menjimatkan masa dan boleh pergi ke sesuatu lokasi dengan lebih cepat.
“Dron turut digunakan untuk memberi kesedaran kepada rakyat untuk mematuhi PKP. Selain itu, ianya menjadi mata kepada pihak berkuasa dan akan digunakan di hot spot serta zon merah,” jelas beliau.
Pada ketika ini, ATM telah mengatur gerak sebanyak 4 kumpulan kecil untuk mengoperasikan 8 buah dron bagi menguatkuasakan Op Penawar. Pengoperasian dron adalah tertumpu kepada kawasan titik panas dan mempunyai kadar pematuhan PKP yang rendah.
1 comment
[…] Artikel berkaitan : Dron menjadi mata untuk kuatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan […]