PUTRAJAYA, 27 Mac – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keutamaan kerajaan pada waktu ini adalah untuk membendung penularan wabak COVID-19.
Beliau berkata kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bagi pembelian peralatan dan perkhidmatan untuk memerangi COVID-19, termasuk mendapatkan khidmat kepakaran perubatan daripada perkhidmatan kesihatan swasta.
Sebelum ini, Muhyiddin telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Selain itu, bagi menyokong usaha KKM menjalankan lebih banyak ujian COVID-19, pihak industri insurans dan takaful akan mewujudkan dana khas berjumlah RM8 juta,
“Bagi menanggung kos ujian penyaringan yang bernilai sehingga RM300 bagi setiap pemegang polisi dan sijil takaful perubatan yang diarahkan KKM untuk menjalani ujian di hospital swasta atau makmal swasta,” katanya ketika mengumumkan pakej PRIHATIN hari ini.
Selain itu, syarikat insurans dan takaful keluarga akan menawarkan penangguhan pembayaran premium atau sumbangan untuk tiga bulan bagi pencarum yang sumber pendapatan mereka terjejas akibat wabak itu.
Muhyiddin turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi inisiatif tambahan mySalam kepada golongan B40 yang dikuarantin sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI).
“Pesakit boleh menuntut bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari,” katanya.