Home Pertahanan dan Keselamatan PKP: 350,000 veteran tidak berpencen tawar diri bantu perangi COVID-19

PKP: 350,000 veteran tidak berpencen tawar diri bantu perangi COVID-19

by Bernama

KANGAR, 26 Mac  – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM), bersedia untuk menyumbang tenaga membantu pertugas barisan hadapan, menangani penularan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya Datuk Ismail Abidin berkata, pihaknya bersedia untuk dipanggil bila-bila masa sahaja untuk kembali mencurah bakti kepada negara.

“Kita mempunyai ramai ahli iaitu kira-kira 350,000 orang, dan boleh digerakkan pada bila-bila masa,” katanya kepada media selepas mengagihkan lebih 1,000 botol minuman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di sini, hari ini, yang diterima oleh Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad.

Ramai ahlinya masih muda berumur dalam lingkungan 40 ke 50 tahun, dan mereka mempunyai kemampuan dan tenaga untuk berkhidmat.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan lanjutan tempoh PKP sehingga 14 April depan yang telah dikuatkuasakan sejak 18 Mac lepas, bagi membantu negara menangani wabak COVID-19.

Sementara itu dalam perkembangan lain Surina berkata, tiada tindakan undang-undang diambil ke atas mana-mana individu yang ingkar dengan penguatkuasaan PKP di Perlis buat masa ini, namun pihaknya tidak teragak-agak untuk memulakan tangkapan.

“Buat masa ini tahap pematuhan rakyat di Perlis berhubung penguatkuasaan PKP adalah 95 peratus. Kita berusaha untuk capai 100 peratus,” katanya.  – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!