PUTRAJAYA, 26 Mac – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengesahkan jumlah kumulatif kes jangkitan COVID-19 di Malaysia telah melepasi paras 2,000 kes.
“Sehingga tengah hari 26 Mac 2020, sebanyak 235 kes baharu dilaporkan dan menjadikan jumlah kes sebanyak 2,031 kes,
“Berdasarkan siasatan, 60 kes terbaharu adalah berkaitan kluster perhimpunan Tabligh di Seri Petaling sementara baki kes masih lagi dalam siasatan,” kata Noor Hisham semasa Sidang Media Perkembangan COVID-19, hari ini.
Beliau menambah, sehingga kini 45 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dari jumlah tersebut, 32 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.
Sementara itu, beliau menyatakan sebanyak 16 pesakit telah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital. Perkembangan terbaharu ini menjadi bilangan pesakit sembuh adalah seramai 215 orang.
Noor Hisham turut menyatakan kes kematian akibat wabak COVID-19 di negara ini meningkat kepada 23 orang dengan pertambahan 4 kes kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.