Home Semasa Bekalan barang keperluan harian untuk anggota tentera di PERNAMA mencukupi – Pengurus Besar

Bekalan barang keperluan harian untuk anggota tentera di PERNAMA mencukupi – Pengurus Besar

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Stok bekalan barangan ruji di kedai-kedai Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) sentiasa mencukupi untuk keperluan harian warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga sepanjang penguatkuasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Pengurus Besar PERNAMA, Mohd Zaini Khalid berkata barangan ruji seperti telur, roti, tepung, minyak masak dan gula mencukupi untuk menampung isi rumah sepanjang PKP dilaksanakan.

“Kedai-kedai PERNAMA ditampung oleh Gudang Pusat di Bukit Raja dan disokong oleh beberapa pembekal yang membuat hantaran terus ke kedai,

“Buat masa ini kedudukan stok melebihi RM10 juta yang merangkumi pegangan di kedai-kedai dan di gudang pusat,” katanya ketika dihubungi oleh Airtimes hari ini.

Beliau berharap agar warga ATM dan keluarga tidak terpengaruh dengan pembelian panik seperti yang berlaku di luar ketika PKP dilaksanakan.

“Insyaallah, jika kita semua berbelanja mengikut keperluan dan tanpa berlebih-lebihan, bekalan di kedai-kedai PERNAMA akan sentiasa mencukupi,

“Barangan keperluan sentiasa diberi keutamaan dari segi pegangan stok dan setakat ini, kami mendapat sokongan yang padu dari pembekal,” ujarnya.

Selain itu, Mohd Zaini berkata pihak PERNAMA sentiasa mengambil langkah-langkah keselamatan dengan menghadkan hanya lima pelanggan sahaja dibenarkan masuk ke kedai pada sesuatu masa dan membuat penjarakan sosial seperti disarankan oleh kerajaan.

“Kakitangan PERNAMA juga mengamalkan tahap kesihatan yang tinggi dengan memakai mask, sarung tangan dan menggunakan hand sanitizer seperti arahan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO),” katanya.

Ketika ditanya mengenai pembekalan mask dan hand sanitizer kepada anggota ATM dan keluarga, beliau menyatakan PERNAMA ketika ini mengalami kekurangan stok untuk diagihkan.

“Sekiranya ada keutamaan, ia akan diagihkan terutama kepada kakitangan hadapan (frontliners) di kedai-kedai PERNAMA sahaja,

“Manakala sejumlah lagi juga akan dibuat sumbangan ke pihak ATM yang memerlukan dan baki stok akan dijual di kedai-kedai PERNAMA,” tambahnya.

Dalam pada itu, kedai-kedai PERNAMA juga memberi kemudahan kepada semua anggota ATM yang sedang berkhidmat untuk membeli barangan runcit secara kredit.

Menurutnya, kemudahan PNLite ini telah lama diwujudkan kepada anggota ATM, bukannya sempena pelaksanaan PKP ini.

“Menerusi PNLite setiap anggota boleh membeli barangan dengan maksimum sehingga RM500 atau RM1,000 bergantung kepada kelulusan,

“Kemudahan ini bukan untuk menggalakkan anggota berhutang pada hujung bulan, malah dapat membantu keluarga untuk datang mendapatkan bekalan harian di kedai-kedai PERNAMA,

“Perkhidmatan ini juga dapat mengurangkan orang ramai berkumpul di dalam kedai PERNAMA untuk membeli barangan semasa hari gaji,” tegasnya.

Sepanjang Penguatkuasaan PKP kedai-kedai PERNAMA di seluruh kem beroperasi seperti biasa dan akur dengan arahan dari masa ke semasa.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!