KUALA LUMPUR, 26 Mac – Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) mengesa Persatuan-persatuan Veteran ATM untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang mungkin boleh menimbulkan polemik negatif dari netizen atau awam.
JHEV ATM hari ini menegur kenyatan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen (PVATBM) yang ingin menawarkan khidmat bekas tentera dan veteran dalam membantu anggota ATM yang menjalankan Sekatan Jalan Raya (SJR) bersama polis dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerkan (PKP).
“Jika betul Veteran ATM ingin membantu kerajaan dalam saat getir ini, kami berharap agar Veteran ATM membantu dengan cara mematuhi setiap arahan PKP,
“Terus berada di rumah masing-masing dan tidak keluar untuk urusan yang tidak perlu agar sama-sama memutuskan rantaian COVID-19 ini,” jelas JHEV ATM dalam kenyataan hari ini.
Menurut JHEV ATM, sehingga kini pihaknya masih tidak menerima apa-apa arahan dari Kerajaan untuk melibatkan Veteran ATM yang ada dalam membantu penguatkuasaan PKP.
“ATM hari ini masih mampu untuk menangani setiap penguatkuasaan yang perlu dilaksanakan bersama pihak PDRM,
“Keadaan sekarang masih terkawal dibawah tindakan agensi-agensi terlibat,” tambahnya.
Penglibatan dalam operasi SJR oleh anggota ATM merupakan sebahagian daripada usaha ATM membantu Polis Diraja Malaysia dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Op Penawar.
Op Penawar melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.
Penglibatan ATM dalam penguatkuasaan PKP telah dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Khas Menteri-menteri pada 20 Mac lalu.