Home Semasa PKP COVID: Dua lelaki dipenjara, halang tugas

PKP COVID: Dua lelaki dipenjara, halang tugas

by Bernama

Kuala Lumpur, 24 Mac – Dua lelaki menjadi individu pertama dihukum penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang pegawai polis yang menjalankan tugas membuat pencegahan penyakit berjangkit COVID-19 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan selama 14 hari mulai 18 Mac lalu.

S.Sugendran, 31, pembantu kedai dan pengawal keselamatan M.Annblagan, 37, masing-masing dihukum penjara dua bulan oleh Majistret M.Saravanan selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Mahkamah memerintah kedua-dua lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula semalam.

Mereka didakwa bersama-sama menggunakan kekerasan jenayah dengan berlakunya pergelutan dan melawan Inspektor Nik Faidrul Nik Fauzi, iaitu seorang pegawai polis dalam melaksanakan kewajipan rasminya sebagai penjawat awam, semasa tangkapan polis dijalankan.

Kedua-dua lelaki itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di persimpangan lampu isyarat, Jalan Pantai Permai, Pantai Dalam di sini pada 5 petang, 19 Mac lalu mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian pegawai polis berkenaan menjalankan tugas pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit COVID-19 di kawasan pentadbiran Balai Polis Pantai dan didapati sebuah motosikal dinaiki oleh dua lelaki (tertuduh) dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai polis itu mengarahkan penunggang memberhentikan motosikal untuk diperiksa namun penunggang motosikal tersebut enggan berhenti dan memecut laju serta melarikan diri.

Pegawai polis itu kemudiannya mengejar motosikal tersebut dan berlaku pergelutan semasa tangkapan dilakukan ke atas kedua-dua tertuduh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana mereka melakukan kesalahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam masing-masing merayu hukuman ringan atas alasan mereka menanggung keluarga dan isteri.

Di mahkamah sama, Sugendran didenda RM2,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu manakala Annblagan dihukum penjara tiga minggu selepas masing-masing mengaku bersalah gagal mengemukakan kad pengenalan diri semasa pemeriksaan polis itu.

Mahkamah memerintahkan Annblagan menjalani hukuman penjara itu bermula semalam.

Mereka didakwa gagal mengemukakan kad pengenalan diri semasa pemeriksaan anggota polis pada tarikh, tempat, dan masa sama mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!