KUALA LUMPUR, 24 Mac – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mula mengaturgerakkan penggunaan teknologi dron dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawasi 12 kawasan titik panas (hotspot) di seluruh negara hari ini.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata penggunaan dron tersebut adalah untuk menentukan penguatkuasaan PKP agar dilaksanakan dengan lebih efisen untuk membuat liputan serta pengawasan dari udara dengan cepat bagi mengawal pergerakan orang ramai.
Beliau berkata penggunaan dron ini juga akan di tempatkan di kawasan-kawasan yang masih menjadi tumpuan orang ramai di sekitar Kuala Lumpur dan juga di luar kawasan.
“Penggunaan dron juga bagi memantau kawasan-kawasan yang tidak dapat dikawal oleh anggota tentera dan polis yang melakukan penugasan,
“Selain itu, kita (ATM) juga ada menghantar unit-unit dron ke beberapa kawasan di luar Kuala Lumpur, mengikut keadaan kawasan yang mana ada kumpulan-kumpulan masih lagi berdegil melanggar arahan PKP,
“Sudah pasti buat masa ini kita tidak boleh hantar ke seluruh Malaysia, tetapi kini kita tumpu pada kawasan penting dahulu,” jelasnya kepada pemberita di IPD Brickfields, hari ini.
Affendi menegaskan dron yang digunakan ini adalah aset kerajaan dan industri tempatan bagi memantau 12 kawasan tumpuan di seluruh negara.
Menurut Affendi, gambar yang diambil dari dron akan disalurkan kepada tim di lapangan untuk diambil tindakan seterusnya.
“Sekali lagi saya ingin menegaskan PKP ini harus dapat mencapai objektifnya bagi menghentikan penularan wabak COVID-19 ini dari terus merebak,” katanya.
1 comment
[…] Artikel berkaitan: ATM, PDRM aturgerak dron pantau Perintah Kawalan Pergerakan hari ini […]