Home Semasa 3 juta rakyat Malaysia ingkar Perintah Kawalan Pergerakan 

3 juta rakyat Malaysia ingkar Perintah Kawalan Pergerakan 

by Farrah Najihah Hisyam

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Kira-kira 10 peratus daripada 32 juta rakyat Malaysia dianggap degil dan gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  walaupun ia sudah dikeluarkan hampir seminggu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata, angka tersebut tidak boleh dipandang remeh kerana ianya melibatkan kira-kira 3 juta orang penduduk di negara ini.

Menurutnya, masih banyak kawasan seolah-olah tidak sedar atau dengan sengaja tidak ambil peduli tentang pelaksanaan PKP ini.

“Saya berharap dengan penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini dapat meningkatkan lagi kesedaran serta pematuhan PKP dalam kalangan rakyat Malaysia,

“Antara yang dilaksanakan secara bersama adalah penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membantu (PDRM) dalam melaksanakan sekatan jalanraya, mengawal hospital, hebahan bersama dan rondaan di kawasan-kawasan awam berisiko tinggi,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga terlibat dalam pelaksanaan PKP ini.

“Seramai 1,462 anggota dari RELA manakala APM seramai 3,000 anggota. Pada mesyuarat hari ini, kita berbincang dan memang ada keperluan penambahan anggota RELA lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar,

“PDRM juga telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas (Special Task Force) bersama ATM, RELA dan APM bertujuan untuk meningkatkan lagi kesedaran dan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.

Ismail Sabri balik berkata selain pelaksanaan di peringkat Persekutuan, Majlis Keselamatan Negeri juga sudah digerakkan dan meminta setiap daerah iaitu Pusat Pengurusan Bencana turut digerakkan.

Dalam masa yang sama, beliau juga berharap supaya rakyat tidak percaya dengan gambar-gambar tular yang menyatakan kononnya kereta kebal dan kereta perisai ATM berada di atas jalan raya yang akan menimbulkan keresahan pihak awam.

“Penglibatan ATM adalah untuk membantu pihak polis, di mana apa yang dilaksanakan adalah dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,

“Yang akan mengetuai apa sahaja perkara pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan adalah diketuai oleh pihak polis bukan ATM. Dakwaan yang mengatakan tentera mengambil alih tugas pihak polis adalah tidak benar sama sekali,” tegasnya lagi

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!