KUALA LUMPUR, 22 Mac – Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan ditempatkan di pasar pagi dan pasaraya untuk memantau pergerakan orang ramai supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Ismail Sabri, anggota polis dan tentera akan ditempatkan di pasar pagi dan pasaraya kerana pihaknya menerima banyak laporan orang ramai bersesak di kawasan premis itu untuk membeli barangan keperluan harian.
“Semua pelanggan bersesak-sesak untuk membeli di kawasan pasar dan pasaraya, jadi apa yang kita nasihatkan supaya menjarakkan diri sebanyak satu meter masih tidak dilakukan,
“Jadi saya nasihatkan kepada pengguna di pasar dan pasaraya, kita faham keperluan harian amat penting, tetapi kesihatan juga perlu dijaga,
“Untuk itu kita bersetuju supaya pihak polis dan tentera untuk berada dikawasan pasar dan pasaraya dan akan dibantu oleh penguatkuasa tempatan,
“Mungkin mereka akan membantu untuk memberikan giliran kepada orang ramai memasuki pasar raya dan sebagainya,” katanya pada satu sidang media di sini.
Terdahulu Ismail Sabri berkata tentera telah diaturgerak hari ini pada jam 12.00 tengahari bagi membantu pihak polis.
Beliau sekali lagi menegaskan, penglibatan anggota ATM hanyalah untuk membantu polis dan bukan mengambli alih tugas mereka termasuk berkaitan tangkapan.
“ATM akan membantu polis dalam melakukan sekatan jalan raya, rondaan di kawasan bandar termasuk di hospital, selain turut melibatkan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) seramai 3,000 dan RELA seramai 1,462 orang anggota,” jelas beliau.
“Penugasan ini termasuk kawalan di pintu masuk dan sempadan selain kawasan berisiko tinggi,” katanya.