KUALA LUMPUR, 20 Mac – Penugasan operasi polis dalam mengurangkan pergerakan rakyat selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan akan lebih teratur dan mantap dengan penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula Ahad ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat mengalu-alukan bantuan ATM dalam memastikan tahap pematuhan rakyat terhadap perintah kerajaan itu dapat dipertingkatkan dalam usaha membendung penularan COVID-19.
“PDRM dan ATM perlu berganding dalam misi penting ini (tahap pematuhan rakyat terhadap perintah kawalan pergerakan) kerana selama ini, ATM telah banyak membantu polis dalam soal banjir dan terrorisme,” katanya kepada Bernama.
Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan akan menggerakkan ATM bermula Ahad ini bagi membantu polis menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan untuk memastikan rakyat berada di rumah masing-masing dalam usaha membendung COVID-19.
Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa mulai 18 Mac sehingga 31 Mac ini bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19. – Bernama