KUALA LUMPUR, 16 Mac – Mufti kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusuf Ahmad bersama Jawatankuasa Fatwa bersetuju agar semua aktiviti di masjid dan surau yang melibatkan orang awam perlu ditangguhkan.
Mohd Yusuf dalam satu kenyataan berkata, ini adalah disebabkan oleh situasi kritikal susulan gelombang kedua wabak COVID-19 yang semakin memudaratkan.
Penemuan positif COVID-19 dalam kalangan 16,000 jemaah yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek, Sri Petaling menyokong penangguhan ini.
Oleh itu, kesemua aktiviti termasuk solat Jumaat serta solat berjemaah ditangguhkan selama 10 hari dari 17 Mac sehingga 26 Mac 2020.
“Sebarang penambahan hari selepas tarikh tersebut akan dirujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),
“Semua masjid dan surau perlu membuat operasi pembersihan dan penyahkuman sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan penularan wabak,” jelas Mohd Yusuf.
Tambahnya lagi, jika terdapat sebarang kematian berpunca dari COVID-19 pengurusan jenazah hendaklah mengikut keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).
Kaedah tayammun akan digunakan jika keadaan boleh memudaratkan nyawa pengurus jenazah.