PUTRAJAYA, 16 Mac – Timbalan Menteri Luar negeri, Datuk Kamarudin Jaffar hari ini menyatakan seramai 127 rakyat Malaysia akan dibawa pulang dari Iran dan Itali dalam masa terdekat.
“Repatriasi akan melibatkan seramai 48 orang dari Iran dan 79 orang dari Itali,” kata Kamarudin dalam satu sidang media di Wisma Putra, hari ini.
Menurut beliau, seramai 323 rakyat Malaysia berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Itali manakala 48 lagi di Iran.
“Pelan repatriasi ini dijangka akan dilaksanakan dalam masa terdekat, tertakluk kepada kelulusan daripada pihak berkuasa Iran dan Itali,” katanya.
Pada masa yang sama, Kamarudin menjelaskan tidak semua rakyat Malaysia yang berdaftar dengan pihak kedutaan di Itali akan dibawa pulang.
“Ada di antara mereka yang telah bermastautin di sana serta tidak berhasrat untuk meninggalkan negara Itali,
“Kesemua rakyat Malaysia yang berdaftar dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Iran akan dibawa pulang,” jelas Timbalan Menteri Luar.
Beliau menambah, pihak Kedutaan Malaysia di Iran dan Itali telah menubuhkan Pasukan Tindakan Cemas (Emergency Response Team – ERT). Pasukan itu ditubuhkan untuk berkerjasama dengan pihak berkuasa kedua-dua buah negara dan menyelaras usaha membawa pulang rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, Kamarudin turut menasihatkan rakyat Malaysia di Iran dan Itali berhubung terus dengan pihak Kedutaan bagi mendapatkan bantuan atau nasihat berhubung proses membawa mereka kembali ke Malaysia.
Itali merupakan negara kedua terjejas teruk akibat wabak COVID-19 yang melanda dunia semenjak Disember 2019. Berdasarkan statistik Badan Kesihatan Dunia (WHO) sehingga semalam, Itali mencatatkan jumlah keseluruhan kes jangkitan sebanyak 21,1157 sementara Iran berjumlah 12,729.