KUALA LUMPUR, 16 Mac – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor hari ini mengesahkan empat mangsa rentung manakala seorang lagi masih hilang dalam satu letupan dan kebakaran di Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang, Kota Tinggi.
“Terdapat 7 orang mangsa yang terlibat termasuk satu mangsa keluar sendiri, satu mangsa melecur sebanyak 70% dikeluarkan oleh anggota Central Emergency & Fire Services (CEFS),
“Manakala, empat orang mangsa rentung dikeluarkan oleh Pihak Bomba dan seorang mangsa lagi masih hilang,” kata Komander Operasi dan Penyelamat negeri, Pauzan Ahmad.
Pemadaman dan penyejukkan melibatkan 33 orang anggota JBPM dan sembilan jentera serta dibantu oleh 37 anggota CEFS Pengerang bersama lapan senjata.
Terdahulu, Pauzan berkata Pusat Gerakan Operasi Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kebakaran Diesel HTU itu melalui talian terus ke balai pada pukul 11.18 malam tadi.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian, didapati benar berlaku letupan dan kebakaran melibatkan Plant Diesel Hydro Treater Unit (HTU) yang menjalankan proses membuang sulfur dari diesel mentah dengan menggunakan gas hydrogen,
“Operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan,” tambah beliau.
Dalam satu kenyataan berasingan, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kebakaran.
“Saya amat sedih dengan kejadian yang berlaku. Semoga Allah beri kekuatan dan ketabahan hati kepada keluarga mangsa,” titah baginda kepada Royal Press Office di sini.
Baginda juga amat berharap agar keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian kebakaran itu diberikan perhatian dan bantuan oleh majikan.