Home Semasa COVID-19: Perintah Kawalan Pergerakan mulai Rabu – PM 

COVID-19: Perintah Kawalan Pergerakan mulai Rabu – PM 

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini  mengumumkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac hingga 31 Mac 2020, diseluruh negara.

Beliau berkata perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Akta Polis 1967.

“Keutamaan kerajaan pada masa ini adalah untuk mencegah penularan baharu wabak ini yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat,

“Situasi semasa wabak ini memerlukan tindakan drastik diambil bagi memulihkan keadaan secepat mungkin,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin menegaskan perintah Kawalan Pergerakan ini meliputi (pertama) larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

“Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian,

“Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020 (semalam),” kata Muhyiddin dalam Perutusan Khas di Putrajaya, hari ini.

Bagi perkara kedua Kawalan Pergerakan, Muhyiddin berkata, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara.

“Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self quarantine) selama 14 hari,

Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara, manakala keempat adalah penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah serta pra-universiti,

Bagi perintah kawalan pergerakan kelima pula, beliau berkata semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara hendaklah ditutup bagi mengelakan penularan wabak berkenaan.

Keenam, penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terbabit dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau sedar rakyat di negara ini mungkin merasakan tindakan yang diambil oleh kerajaan ini menimbulkan kesulitan dan kesukaran.

“Namun, tindakan ini mesti diambil oleh kerajaan untuk membendung penularan wabak COVID-19 yang berkemungkinan meragut nyawa rakyat negara ini,” tegasnya lagi.

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa bekalan bahan-bahan makanan, keperluan harian dan penjagaan kesihatan termasuk topeng muka adalah mencukupi.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah diarahkan agar sentiasa memantau situasi bekalan makanan dan keperluan harian di pasaran sepanjang tempoh Perintah Kawalah Pergerakan ini berkuatkuasa,

“Saya merayu kepada saudara-saudari agar sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini. Ini adalah tanggungjawab kita bersama yang mesti kita laksanakan sebagai rakyat yang prihatin terhadap keluarga, masyarakat dan negara kita,” tegas Perdana Menteri.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!