PUTRAJAYA, 16 Mac – Sebanyak 125 kes terbaharu positif novel koronavirus (COVID-19) dikesan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan 12 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hari ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Sri Dr Adham Baba berkata dengan penambahan kes baharu itu, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 553 kes setakat 12 tengah hari.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 95 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan jemaah tabligh di Sri Petaling termasuk tiga yang sedang menerima rawatan di ICU,
“12 pesakit berada di unit jagaan rapi (ICU) dan memerlukan alat bantuan pernafasan,
“Paling tinggi kes dilaporkan adalah dari Selangor, Kuala Lumpur, Sabah dan Johor,” kata DR Adham Baba pada sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.
Dr Adham berkata, negara ketika ini berdepan pertambahan kes COVID-19 yang ketara dan mengambil kira perkara itu, KKM kini telah memasuki tahap pembendungan akhir bertujuan membendung penularan jangkitan wabak berkenaan menjadi semakin serius di Malaysia.
“KKM sedang melaksanakan aktiviti mitigasi. Antara langkah diambil adalah menjadikan Hospital Sungai Buloh (HSB) sebagai hospital khusus kes Covid-19 berdasarkan kelengkapan makmal dan kepakaran,” katanya.
Ketika ditanya sama ada kerajaan akan melaksana sekatan keluar-masuk (lockdown) akibat penularan wabak itu, beliau enggan mengulas lanjut, sebaliknya meminta media menunggu satu pengumuman khas yang akan dibuat dalam masa terdekat.
“Tunggu pengumuman malam ini daripada Perdana Menteri,” katanya.
Media dimaklumkan, pengumuman tersebut akan dibuat oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada jam 9 malam ini.
Dalam masa yang sama, Dr Adham menegaskan seramai 800 jururawat baru akan diambil oleh KKM sebagai persediaan menghadapi kemungkinan penularan jangkitan menjadi lebih serius.
Beliau berkata lantikan secara kontrak itu bagi menambah kapasiti petugas di 135 hospital kerajaan di seluruh negara memandangkan bilangan kes positif COVID-19 semakin ketara sejak minggu lepas.
“Mereka akan berkhidmat selama dua tahun, terdiri daripada jururawat yang tamat belajar dari kolej kejururawatan KKM,” jelas Dr Adham.