Home Semasa 109 peserta tabligh jalani pemeriksaan di Perlis

109 peserta tabligh jalani pemeriksaan di Perlis

by Bernama

KANGAR, 16 Mac – Sejumlah 109 peserta perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling di Kuala Lumpur 28 Feb lepas, telah menjalani pemeriksaan di Dewan Wawasan 2020 di sini, kata Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata sebanyak 23 sampel adalah negatif, manakala 86 sampel lagi belum mendapat keputusan.

“Kami harap mereka yang terlibat dengan perhimpunan tabligh itu segera tampil membuat pemeriksaan di Dewan Wawasan 2020 dan mereka yang mempunyai maklumat mengenai individu yang menghadiri perhimpunan itu boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Perlis,” katanya.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata orang ramai dinasihatkan mengambil langkah pencegahan jangkitan seperti yang disaran Kementerian Kesihatan iaitu tidak menghadiri perhimpunan berskala besar dan mengamalkan penjagaan kebersihan diri seperti kerap mencuci tangan.

Azlan berkata beliau juga dimaklumkan bahawa lima individu yang kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar setelah disahkan positif COVID-19 berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Azlan berkata kerajaan negeri turut membuat keputusan untuk menangguhkan penganjuran Perlis Marathon 2020 yang dijadual 4 April ini sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak. -Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!