KUALA LUMPUR, 13 Mac – Harga runcit petrol RON95 turun sebanyak 7 sen seliter dan harga bagi RON97 turun sebanyak 9 sen seliter bermula tengah malam ini sehingga 20 Mac 2020.
Manakala harga runcit Diesel juga turun sebanyak 9 sen iaitu daripada RM 1.96 seliter kepada RM 1.87 seliter.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, harga runcit petrol RON95 turun 7 sen daripada RM 1.89 kepada RM 1.82 seliter dan RON97 turun 9 sen daripada RM 2.19 kepada RM2.10 seliter.
“Ketidaktentuan harga minyak mentah dunia pada masa ini dipengaruhi oleh ketidaksefahaman antara negara-negara pengeluar minyak utama dunia serta wabak COVID-19 yang memberi kesan kepada ekonomi global,
“Harga runcit bagi kedua-dua produk petrol RON95 dan Diesel akan diturunkan kepada RM1.82 dan RM 1.87 seliter,
“Ini sebagai langkah untuk menstabilkan turun naik harga minyak kepada pengguna dan untuk mengimbangi ketidaktentuan hasil minyak kepada Kerajaan,” jelasnya.
Di samping itu, Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terpelihara dalam menangani peningkatan kos sara hidup.