Home Pertahanan dan Keselamatan Redha suami sertai misi walau sarat hamil 6 bulan

Redha suami sertai misi walau sarat hamil 6 bulan

by Fatini Hanis Norzali

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Ruhaiza Samsudin, 28, yang sarat hamil 6 bulan, redha suaminya pergi berkhidmat untuk negara dalam misi Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao yang ke-15 (TPA M-15) di Filipina, pada hari ini.

Ruhaiza akan melahirkan anak keduanya pada bulan Jun ini tanpa suaminya di sisi.

Meskipun berjauhan dari suami tercinta, Rohaiza tetap akan berdikari menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri.

Beliau juga akan berulang alik ke kampung halamannya bersendirian di Muar, Johor untuk menguruskan segala urusan rumah tangganya.

“Saya akan meluangkan masa dengan melakukan perkara-perkara yang dapat menghilangkan perasaan sedih dan rindu terhadap suami seperti melakukan tugas-tugas di rumah atau menguruskan anak,” ujarnya.

Suami kepada Ruhaiza, Mejar Dr Syed Fareez Syed Nassir, 32, merupakan salah seorang anggota yang menyertai misi TPA M-15.

Dr Fareez merupakan pegawai perubatan dari Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan yang akan bertugas di Ibu Pejabat Cotabato City di Mindanao.

Beliau terpaksa meninggalkan isteri dan anaknya selama setahun untuk melaksanakan misi keamanan di Mindanao mulai 13 Mac 2020.

“Saya berasa amat sedih kerana meninggalkan isteri yang sarat hamil 6 bulan,

“Dalam masa yang sama saya berharap dia dapat menjaga anaknya dengan baik,

“Saya turut berbangga dapat menunaikan tanggungjawab serta mewakili Malaysia untuk melakukan misi ini,” katanya.

Dr Fareez juga berkata, mereka akan mewakili negara untuk bekerjasama dengan pihak Mindanao dan Filipina bagi mencapai keamanan.

Kumpulan Induk Tim TPA M-15 telah berlepas ke Mindanao pada jam 9.15 pagi tadi dengan menggunakan pesawat C-130H TUDM di Pangkalan Udara Subang.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!