KUALA LUMPUR, 11 Mac – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) cawangan Jalan Raja Laut ditutup selepas seorang pencarum yang hadir ke premis itu telah disahkan dijangkiti virus COVID-19.
KWSP dalam satu kenyataan berkata, seorang pencarum yang hadir ke cawangan itu pada 27 Februari lalu disahkan positif COVID-19 pada pada 3 Mac.
“Kakitangan KWSP yang dikenalpasti berkemungkinan terdedah dengan pencarum semasa berurusan di cawangan tersebut telah dihantar untuk pemeriksaan sementara kakitangan lain dikuarantin,” jelas kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, KWSP telah mengambil langkah proaktif dengan menutup pejabat cawangan terbabit dari 10 Mac sehingga 13 Mac bagi menjalankan proses pembersihan ke atas kawasan yang terjejas.
Selain itu, pihak KWSP juga telah menjalankan langkah awal seperti membersihkan semua kaunter dan kawasan terdedah di cawangan sejak Februari lalu untuk meminimunkan pendedahan kepada COVID-19.
“Pegawai kaunter juga diperlukan untuk membersihkan tangan mereka setiap 30 minit dan para pencarum harus menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis,” katanya.
Namun, KWSP di lokasi lain beroperasi seperti biasa manakala pencarum dinasihatkan untuk membuat transaksi secara atas talian kecuali bagi urusan yang memerlukan transaksi di kaunter.
Pencarum juga dinasihatkan untuk mengunjungi perkhidmatan penjagaan kesihatan berdekatan sekiranya mengalami simptom yang berkaitan, sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan memakai peralatan keselamatan diri sebelum berurusan di kaunter, kata kenyataan itu.