IPOH, 10 Mac – Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pagi ini menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi mempersembah maklum situasi terkini politik negeri.
Kenderaan rasmi yang membawa Ahmad Faizal, 50, tiba di Istana Kinta, di sini, pada pukul 9.10 pagi.
Difahamkan, Ahmad Faizal juga akan mempersembahkan senarai calon untuk jawatan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXco).
Semalam, Ahmad Faizal dalam sidang media di sini mengumumkan Perikatan Nasional Perak terdiri daripada UMNO, PAS dan Bersatu mendapat sokongan 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membentuk kerajaan baharu di negeri itu.
Bercakap pada sidang media sulung Perikatan Nasional itu, Ahmad Faizal berkata sokongan adalah daripada 25 ADUN Barisan Nasional yang semuanya UMNO, PAS (tiga) dan Bersatu (empat).
Selain itu, empat ADUN daripada Pakatan Harapan (PH) bertindak meninggalkan parti masing-masing dengan seorang ADUN PKR menyertai Bersatu, serta dua ADUN DAP dan seorang ADUN Amanah meninggalkan parti dan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas.
Mereka ialah ADUN PKR Kuala Kurau Datuk Abdul Yunus Jamahri yang menyertai Bersatu, manakala ADUN Tronoh Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong A.Sivasubramaniam kedua-duanya daripada DAP serta ADUN Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dari AMANAH memilih menjadi Bebas.
Yong, Sivasubramaniam dan Hasnul Zulkarnain bagaimanapun menyokong Perikatan Nasional yang akan mengambil tampuk pemerintahan negeri daripada PH selaras dengan jajaran politik baharu di negeri itu. – Bernama