IPOH, 9 Mac – Perikatan Nasioanal (PN) akan menubuhkan kerajaan campuran di Perak dengan majoriti 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Keputusan tersebut dibuat setelah perbincangan dengan pemimpin dari UMNO dan PAS diadakan berikutan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) keluar daripada Pakatan Harapan (PH).
Ahmad Faizal berkata kerajaan Negeri Perak kini terbentuk hasil gabungan wakil rakyat dari UMNO (25 kerusi), PAS (3 kerusi) dan BERSATU (4 kerusi).
“Saya ingin memaklumkan kepimpinan Bersatu, UMNO dan Pas Negeri Perak telah mencapai satu persetujuan untuk membentuk sebuah gabungan baru,
“Gabungan ini melibatkan 4 ADUN Bersatu iaitu saya sebagai ADUN Chenderiang dan ADUN Sg Manik, Datuk Zainol Fadzi, serta dua lagi ADUN yang telah menyertai Bersatu, iaitu ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari dan ADUN Tualang Sekah Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi,
“Selain itu, gabungan ini turut melibatkan kesemua 25 ADUN daripada UMNO dan 3 ADUN daripada Pas,
“Dengan gabungan ketiga-tiga parti ini, maka Perikatan Nasional Negeri Perak dapat menubuhkan Kerajaan negeri yang baru, dengan jumlah majoriti 32 Ahli Dewan Negeri,” jelas Ahmad Faizal dalam satu sidang media khas hari ini.
Perak mempunyai 59 kerusi ADUN. Pada Pilihanraya Umum ke-14, PH telah memenangi 29 kerusi sementara Barisan Nasional sebanyak 27 kerusi dan Pas sebanyak 3 kerusi.