ALOR SETAR, 9 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Kedah menahan tiga nelayan warga Thailand kerana menangkap ikan di perairan negara semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, bot nelayan pukat tunda kelas C itu ditahan di kedudukan 9.4 batu nautika Barat Daya Sungai Limau.
Menurutnya, hasil pemeriksaan terdapat seorang tekong dan dua awak-awak warganegara Thailand di atas bot berkenaan.
“Mereka yang ditahan berusia diantara 53 hingga 63 tahun dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat sah lesen,
“Kesemua hasil tangkapan telah dibuang ke dalam laut dipercayai untuk menghapuskan bahan bukti. Namun, kecekapan anggota telah berjaya menahan bot tersebut,” jelas Faizal.
Faizal berkata, sebelum ini bot nelayan tersebut juga pernah dilaporkan melakukan kesalahan yang sama oleh beberapa kumpulan nelayan.
“Bot bersama kesemua yang ditahan kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya.